Peneraju Institusi TVET Yang Unggul

Kolej Komuniti Jerai (KK Jerai) merupakan sebuah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM). KK Jerai ditubuhkan pada tahun 2008 untuk memberi peluang pendidikan dan latihan khusus kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Pada peringkat permulaan, KK Jerai menawarkan kursus sepenuh masa iaitu kursus Sijil Pelancongan & Pengembaraan. 

Pada Tahun 2010, Sijil Modular Kebangsaan telah diperkenalkan bagi menggantikan kursus sepenuh masa yang mana sijil modular ini memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan setaraf dengan institusi pengajian yang lain. Di samping itu, Kolej Komuniti Jerai juga menawarkan kursus Latihan 1Malaysia kepada umum. Ia adalah ilham YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam pembentangan Bajet 2011 bagi membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat setempat melalui Latihan 1Malaysia.

Kolej ini juga akan memperhebatkan dan mempelbagaikan lagi tawaran Kursus Jangka Pendek bagi menarik minat lebih ramai masyarakat setempat mengambil bahagian dalam pembelajaran sepanjang hayat. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk meningkatkan dan menambahkan pengetahuan bagi memperbaiki taraf kehidupan dan menjana peningkatan taraf ekonomi masing-masing.